Menteri Besar Selangor, Azmin Ali yang mendesak kerajaan Persekutuan mengagihkan peruntukan samarata antara negeri negeri sepatutnya memandang serius jumlah hutang Selangor kepada Pusat yang mencecah RM1.32 billion. Jumlah tersebut dibentangkan oleh Kementerian Kewangan menjawap soalan Teresa Kok (Adun Seputeh) dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 15 Mac 2016.
Kementerian Kewangan menjawap soalan Teresa Kok yang mahukan penjelasan berkenaan jumlah hutang kerajaan negeri yang masih belum di bayar kepada Putrajaya.
Jumlah hutang kerajaan negeri Selangor yang agak tinggi tidak menunjukkan peningkatan pengurusan ekonomi yang lebih baik oleh PKR yang memerintah Selangor sejak 2008. Azmin yang mengambil alih kerusi MB dari Tan Sri Khalid Ibrahim sebenarnya tidak mampu melangsaikan hutang berkenaan berikutan belanjawan negeri Selangor yang mencatatkan defisit berjumlah RM2.42 billion pada 2015.
Azmin mendakwa Selangor menjadi penyumbang satu perempat dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mahu kerajaan Persekutuan mengagihkan hasil pendapatan negara samarata kepada Selangor sepatutnya mempertimbangkan dahulu apa sumbangan PKR dan Pakatan Rakyat terhadap ekonomi negara. Dengan skandal menghiasi pentadbiran Pakatan di Selangor, Azmin sewajarnya meningkatkan pencapaian ekonomi Selangor dan berusaha membayar semua tunggakan hutang negeri kepada Putrajaya.
Walau Azmin membentangkan ‘Bajet Smart Selangor’ berjumlah RM2.88 billion untuk tahun 2016, berlaku terlalu banyak ketirisan wang rakyat dalam perlaksanaannya. Dengan projek ‘hilang akal’ Azmin mengecat pintu gerbang Selangor bernilai RM9.8 juta dengan dakwaan dibiayai penderma, skandal balak Selangor turut menduduki carta pembaziran wang rakyat malah isu pembaziran Azmin yang membuat projek pengubahsuaian kubah masjid negeri Selangor turut mencuri perhatian rakyat namun begitu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah(SPRM) hanya menutup mata dalam pendedahan yang dibongkar oleh aktivis PKR sendiri iaitu Chegu Bard.
Siapakah sebenarnya ‘penderma’ bagi membiayai kos projek Gerbang Selangor? Mungkinkah Rafizi mengenali identiti individu tersebut dan enggan mendedahkannya kerana wang yang digunakan oleh kerajaan Selangor bagi mendahulukan bayaran kepada kontraktor bukan wang rakyat?
Ketirisan ini merupakan antara penyumbang mengapa Selangor tidak mampu membayar hutang negeri kepada Persekutuan malah Azmin mendakwa Selangor mencatatkan peningkatan pelaburan bernilai RM7.96 billion pada 2015 berbanding RM 7.04 pada 2014. Peningkatan RM0.92 billion ini sepatutnya membolehkan kerajaan Selangor menerima hasil kutipan cukai yang agak lumayan namun Azmin hanya berbangga dengan angka dan tidak pada praktikalnya.
Kemana sebenarnya hasil kerajaan negeri dibelanjakan Azmin sepanjang beliau mentadbir Selangor? Infrastruktur jalanraya Selangor menjadi igauan pemandu yang berulang alik di negeri tersebut masih pada takuk lama malah menjadi semakin kritikal apabila tiada tindakan proaktif dari kerajaan negeri untuk memperbaiki keadaan. Dengan hanya membelanjakan peruntukan MARRIS bernilai RM600 juta yang disalurkan kerajaan Persekutuan, Selangor sendiri tidak memperuntukan sejumlah bajet untuk membaik pulih jalanraya yang rosak tetapi menumpukan kepada projek yang boleh mendatangkan laba buat kantung PKR.
Rakyat Selangor seharusnya membuka mata mereka atas pembaziran wang yang dilakukan Azmin dan Pakatan Rakyat di Selangor. Bagaimana kerajaan Selangor boleh terhutang dengan Pusat jika Azmin mendakwa Selangor menyumbang satu perempat dari KDNK? Bagaimana pula dengan dakwaan Bard mengenai pembaziran wang rakyat yang dilakukan Azmin? Malah identiti penderma projek gerbang Selangor tidak mampu didedahkan Azmin dan kerajaan negeri mendahulukan perbelanjaan kos projek berkenaan.
Terlalu banyak persoalan yang timbul mengenai ketelusan PKR dan Pakatan Rakyat sejak mengambil alih pemerintahan namun rakyat akan diberikan ‘gula gula’ bagi mengalih perhatian kepada isu yang timbul. Malah hingga kini kebanyakan dari janji Pakatan Rakyat dan PKR di Selangor semasa Pru13 tidak ditunaikan.
Pihak SPRM pula dikatakan enggan menyiasat semua laporan terhadap penyelewengan yang dilakukan Azmin dan Pakatan Rakyat atas alasan yang tidak logik. Ini menimbulkan persoalan adakah mereka ada hubungan istimewa hingga menjadi begitu kebal dari sebarang siasatan dan dakwaan.
Benarkah SPRM ada ‘hubungan istimewa’ dengan pembangkang?